Tuesday, March 31, 2009

MORAL, MENTALITI, KESEDARAN SIVIK???

Mentaliti bangsa Malaysia sering ditanggapi lemah oleh bangsa asing. Realitinya, hal ini benar memandangkan masyarakat Malaysia khususnya bangsa Melayu pada masa kini walaupun telah berjaya dan merdeka dari segi fizikal dan material namun hakikatnya kita masih di takuk lama. Kita masih berada di zaman penjajah.

Apakah selepas hampir 52 tahun kita merdeka, bangsa Malaysia benar-benar terbebas daripada segala bentuk kongkongan dan belenggu? Apakah sudah terbenam jiwa hamba dan sebaliknya mekar berkembang jiwa merdeka dalam setiap diri warga Malaysia yang berdaulat? Apakah kemerdekaan telah berjaya membebaskan perasaan dan pemikiran kita daripada sebarang bentuk pemujaan kepada penjajah yang telah lama meninggalkan kita?

Persoalan-persoalan inilah yang perlu diamati dan ditelusuri secara ikhlas dan terbuka. Malah kemerdekaan negara kita yang melewati separuh abad bersama timbunan khazanahnya perlu ditelaah oleh generasi pelanjut dan pewaris perjuangan.

Jika dinilai secara objektif, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah masyarakat kini masih terbudaya dengan nilai yang ditinggalkan penjajah. Malah rakyat khususnya generasi pasca kemerdekaan seolah-olah masih terbelenggu dengan mentaliti jiwa hamba hingga kadangkala begitu mendewakan bekas tuannya yang secara zahir sudah lama meninggalkan daerah penjajahan mereka.

Pemikiran dan perasaaan sebahagian masyarakat seringkali termomok dengan kehebatan dan keunggulan budaya dan nilai bekas tuannya hingga menjadi kayu ukur utama dalam membuat penilaian dan perbandingan. Penyimpangan orientasi pemikiran sebeginilah yang akhirnya memudahkan penjajahan bentuk baru yang cuba merubah cara hidup dan paradigma pemikiran rakyat secara disedari atau tidak.

Apa yang lebih membimbangkan generasi muda selaku pewaris kemerdekaan negara adalah golongan yang paling terdedah kepada pelbagai bentuk penjajahan budaya kini. Lihat saja anak muda kini dengan pelbagai gaya dan watak yang menggunakan pelbagai istilah seperti Generation X, Yuppies, Punk, Hip-Hop yang berteraskan nilai dan budaya hedonistik Barat bersemboyankan keseronokan rakus tanpa batasan mahupun ikatan agama dan adat resam.
Tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini kedengaran pelbagai gejala keruntuhan moral yang semakin serius dalam kalangan anak-anak muda seperti gejala seks bebas, anak tidak lagi menghormati orang tua, pelajar mengugut guru, malah remaja sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap membunuh dan mencederakan sesiapa sahaja yang didendami demi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan prinsip tauhid dan nilai-nilai keinsanan.

Hal ini diakui benar oleh Puan Jama’yah apabila persoalan ini saya tanyakan kepada beliau dalam kesempatan mewawancara beliau awal pagi semalam. Beliau banyak kali menegaskan bahawa orang Melayu khususnya mesti mengubah sikap jika benar-benar mahu berjaya seperti bangsa lain. Memang diakui dari segi fizikal dan material kita nampak maju tetapi hakikatnya tidak begitu. Maju bagi masyarakat Malaysia bukan diukur dari segi kewangan semata-mata. Menurut beliau lagi, setiap tahun beratus ribu graduan dikeluarkan dari IPTA, IPTS, kolej-kolej dan sebagainya namun bagi beliau berapa peratus sahaja yang benar-benar mempunyai nilai moral. Anggapan beliau Malaysia pada tahun 2020 hanya akan maju dari segi fizikal sahaja namun mentaliti rakyatnya tidak akan pernah berubah sekiranya sikap negatif dalam diri tidak dikikis. Pada beliau, moral, mentaliti dan kesedaran sivik rakyat Malaysia terutama orang Melayu masih lagi berada di tahap yang lemah.

Beliau juga berpendapat orang Melayu patut berubah. Sikap dengki dan dendam terhadap bangsa sendiri mesti dikikis dengan segera sekiranya mahu maju. Bagi beliau setiap orang yang mahu berubah mesti mempunyai agen pengubah. Beliau memberi contoh dalam sebuah keluarga agen pengubahnya adalah bapa dan ibu kepada anak-anak. Selain itu, dalam sebuah kampung misalnya agen pengubah adalah ketua kampung kepada penduduk-penduduk kampung. Beliau turut menegaskan agen pengubah tersebut mesti juga mempunyai kesedaran untuk mengubah orang-orang di sekelilingnya. Agen pengubah itu mesti menjadi contoh serta ikutan dan perlu bertepatan dengan kata-kata ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.
Di samping itu, Puan Jama’yah juga berpendapat orang Melayu mudah terpengaruh dengan kata-kata manis orang lain. Orang Melayu pantang dipuji dan diangkat tinggi. Sekiranya perkara ini berlaku orang Melayu akan menjadi lupa diri. Mendengar pendapat beliau ini, saya berani menyatakan bahawa benarlah kata-kata Tun Dr. Mahathir dahulu bahawa ‘Melayu Mudah Lupa’.

Di akhir pertemuan dengan beliau, beliau mengingatkan kami supaya pandai menjaga diri. Beliau turut mengingatkan yang orang Melayu perlu survival sendiri jika tidak mahu dipinggirkan di negara sendiri.

DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG


No comments:

Post a Comment