Tuesday, March 31, 2009

LETIH DAN LESU DUNIA PENERBITAN

Industri buku dikatakan mempunyai masalah bukan perkara baru. Ia telah dibincang, dibedah dan dicari jalan penyelesaian sejak sekian lama. Tetapi lagu hambatan industri ini masih lagi didendangkan dan itu juga dibincangkan dalam mana-mana forum atau kesempatan yang ada.

Tetapi cerita duka industri ini dikaitkan pula dengan kesedihan lain. Tanpa mahu mengakui ia sendiri ada masalah, hal itu berlanjutan pula kepada soal masyarakat Malaysia yang tidak membaca, kurang gemarkan ilmu, buku mahal dan tidak berdaya untuk membelinya. Segala macam masalah dikaitkan dengan industri ini.

Persoalan mengenai mengapa situasi masyarakat Malaysia kurang gemar membaca bahan yang berunsur ilmiah tidak saya lepaskan untuk bertanya kepada Puan Jama’yah ketika mewawancara beliau. Menurut beliau, masyarakat Malaysia gemar membaca tetapi bukan kepada bahan ilmiah sebaliknya kepada bahan picisan seperti majalah hiburan. Mereka lebih teruja untuk mengetahui suka duka kehidupan artis daripada membaca bahan ilmiah.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa penerbit buku tidak mahu mengeluarkan modal untuk promosi seperti Kempen Membaca kerana perkara tersebut tidak dapat mendatangkan keuntungan kepada mereka sekalipun proses untuk mendapatkan ilmu melalui buku itu harganya mahal. Jika terdapat sekalipun promosi untuk Kempen Membaca namun ia tidak secara menyeluruh. Promosi tersebut hanya terbatas di negeri-negeri tertentu sahaja seperti Selangor dan Kuala Lumpur sebaliknya di negeri-negeri utara misalnya di Perlis maklumat mengenai Kempen Membaca itu tidak sampai. Jadi masyarakat di kawasan ini tidak terdedah kepada bahan bacaan dan kesan promosi tersebut.

Selain itu, kebanyakan penerbit berlumba-lumba untuk menghasilkan buku teks memandangkan pulangannya yang besar sehingga mengabaikan penerbitan ilmiah. Mujur ada Majlis Penerbit-penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang bertungkus lumus memastikan penerbitan ilmiah tidak terus lesu begitu sahaja.

Menurut beliau lagi, pihak bertanggungjawab seperti penerbit buku mesti menjalankan kempen secara menyeluruh supaya mesej untuk menggalakkan minat membaca bahan ilmiah dalam kalangan rakyat tercapai. Beliau turut menyarankan agar aktiviti pemasaran bahan-bahan ilmiah kepada masyarakat dijalankan dengan lebih giat memandangkan industri penerbitan buku dalam negara ini semakin lemah dan perlahan.

Di samping itu, beliau juga turut membandingkan usaha menggalakkan minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini dengan masyarakat di negara Barat. Menurut beliau, masyarakat di negara Barat bergerak secara revolusi yang mana jika disamakan dengan kempen membaca di negara ini adalah perlahan berbanding di negara Barat mereka melakukan secara menyeluruh dan mendadak.

Namun menjadikan alasan masyarakat tidak membaca sebagai punca gerhana industri penerbitan buku ini adalah tidak wajar sebaliknya industri perbukuan perlu ditangani secara kreatif termasuk corak penerbitannya.

MEMBACA JAMBATAN ILMU

No comments:

Post a Comment